PAS Umum Calon Di Sabah

TAWAU, 13 April (Bernama) — PAS nampaknya enggan menunggu keputusan pemimpin pakatan rakyat dalam menamakan calon yang akan bertanding di Sabah pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Ketika Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memuktamadkan senarai calon parti itu di Sabah berikutan pertindihan permintaan untuk beberapa kerusi tertentu di kalangan pakatan pembangkang, PAS hari ini mengumumkan akan bertanding di dua kawasan parlimen dan sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu mempertaruhkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Hamzah Abdullah di Parlimen Batu Sapi manakala Ketua Pemuda Kalabakan Usman Madeaming bagi Parlimen Kalabakan.

Beliau mengumumkan nama-nama calon parti itu di Sabah selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan beberapa calon di Pejabat Perhubungan PAS di sini.

Anwar pada sidang akhbarnya di Kota Kinabalu semalam berkata: “Keputusan mengenai pemilihan calon diputuskan oleh pemimpin-pemimpin parti pakatan pembangkang di negeri ini”.

Pakatan pembangkang di negeri ini dianggotai PKR, DAP, PAS dan dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Angkatan Perubahan Sabah (APS) pimpinan Datuk Wilfred Bumburing dan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang diterajui Datuk Seri Lajim Ukin.

Pada pilihan raya lepas, PAS tidak meletakkan calon bagi kerusi Parlimen, manakala dua calon yang diturunkan untuk kerusi DUN iaitu Sukau dan Merotai tewas.

Abdul Hadi berkata PAS akan meletakkan dua calon wanita untuk kerusi DUN iaitu Danseh Queck@Karman (Pitas) dan Fatmawati Mohd Yusuf (Tanjung Batu) manakala tujuh lagi ialah calon lelaki iaitu Awang Laiman Ikin@ Abang (Tampasuk), Hamid Ismail (Tanjung Aru), Ahdah Sulaiman (Sukau), Kasman Karate (Kunak), Hasai Tudai (Bugaya), Ahmad Dullah (Merotai) dan Daud Jalaluddin (Sebatik).

Sementara itu, Lajim pada sidang akhbar di sini hari ini berkata PPS diperuntukkan sekurang-kurangnya empat kawasan Parlimen dan 14 kerusi DUN, dan calon parti itu akan bertanding atas tiket PKR.

“Bagaimanapun, kemungkinan dua daripada calon dari PPS akan menggunakan lambang PAS iaitu mungkin di Bugaya dan Sukau,” kata Lajim sambil membayangkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Beaufort dan DUN Klias.

Lajim berkata senarai penuh calon Parlimen akan diumum oleh Anwar manakala calon-calon DUN khususnya PKR akan diumum selewat-lewatnya Selasa.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s